fbpx

Kronologi Dasar Perumahan Negara 1957-2025

Oleh : Kapital
11 Jun 2019 - 2:54 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Pada tempoh 1998 hingga 2016 sebanyak 102,630 unit rumah PPR telah dibina
  • Bermula tahun 2012, kerajaan lebih tertumpu kepada pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat

 

Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, rakyat telah menyaksikan pelbagai dasar berkaitan perumahan dilaksanakan kerajaan pemerintah bagi memacu pembangunan serta meningkatkan ekonomi negara melalui industri perumahan.

 

Fasa awal dasar perumahan negara sekitar tahun 1957 hingga 1965 menyaksikan unit kediaman atau rumah yang dibina hanyalah pada skala yang kecil sahaja. Purata rumah yang dibina setiap tahun adalah sekitar 826 unit sahaja. Namun bermula tahun 1967 hingga 1969, semakin banyak unit kediaman telah dibina bagi mengatasi masalah kemiskinan. Dalam tempoh ini sebanyak 15,175 unit rumah kos rendah telah dibangunkan kerajaan melalui Housing Cash Programme.

 

Dari tahun 1970 hingga 1985 pula, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baharu dengan matlamat untuk menghapuskan kemiskinan serta meningkatkan pendapatan rakyat. Pada tempoh ini, sebanyak 121,855 unit Perumahan Awam Kos Rendah telah dibina di seluruh negara dengan harga jualan tidak melebihi RM25,000. Bukan itu sahaja, pada tempoh ini juga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah ditubuhkan.

 

 

Fasa ketiga dasar perumahan negara pada tempoh 1986 hingga 1997 pula sudah mula berevolusi ke arah perumahan yang berfokuskan pasaran. Ini kerana, kerajaan ketika itu telah mengikut saranan Bank Dunia yang menggalakkan dasar pasaran terbuka. Sebanyak 3.7 juta unit rumah dan 1.2 juta rumah kos rendah telah dibina oleh pihak pemaju swasta.

 

Seterusnya, industri perumahan negara turut melalui fasa penstrukturan setinggan di mana pada tempoh 1998 hingga 2016 sebanyak 102,630 unit rumah PPR telah dibina oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan Negeri. Rumah PPR dijual pada harga sekitar RM35,000 atau boleh disewa dengan harga bulanan serendah RM124.

 

Bermula tahun 2012, dasar perumahan yang diterapkan kerajaan adalah lebih tertumpu kepada konsep perumahan mampu milik dengan sasaran utama adalah untuk golongan yag berpendapatan RM2,500 hingga RM7,500. Pelbagai rumah mampu milik seperti PR1MA, RUMAWIP dan Rumah Selangorku telah diperkenalkan kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup setiap rakyat.

 

Apabila berlakunya peralihan kerajaan persekutuan yang baharu, dasar mengutamakan rakyat masih jelas diterapkan oleh pihak KPKT melalui pengenalan Dasar Perumahan Negara bagi tempoh 2018 hingga 2025. Melalui tagline “Rumah Berkualiti Harapan Rakyat”, kerajaan hari ini dengan jelas telah menyatakan matlamat utama mereka adalah untuk menjana habitat yang mampan, berdaya huni, berkualiti dan inklusif yang mampu dimiliki oleh rakyat.

 

Bagi mencapai matlamat ini, beberapa cabaran utama dalam pasaran perumahan telah digariskan oleh pihak kerajaan yang perlu ditangani. Antara isu dan cabaran pasaran perumahan yang dihadapi Malaysia pada hari ini ialah ketidakmampuan membeli rumah mengikut pasaran; ketidaksepadanan penawaran dan permintaan rumah; industri perumahan yang tidak berinovasi; serta ketiadaan sistem bersepadu untuk memastikan kesepadanan penawaran dan permintaan.

 

 

Terdapat lima fokus utama yang mahu dicapai melalui Dasar Perumahan Negara yang terbaru ini iaitu memastikan perumahan berkualiti untuk semua rakyat; menambahbaik aksesibiliti dan tahap kemampuan memiliki rumah; memastikan kejiranan yang berkualiti dan kohesif; menambahbaik koordinasi antara pembangunan perumahan dan pengangkutan; serta memperkukuh keupayaan institusi.

 

Melalui beberapa pelan tindakan serta strategi yang telah dirangka oleh pihak KPKT, majoriti rakyat pada hari ini dilihat menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan supaya masalah pemilikan rumah dapat diselesaikan sebaik mungkin. Sekiranya kualiti kehidupan rakyat berjaya ditambahbaik, ianya juga sudah pasti akan menguntungkan negara kerana melalui kualiti kehidupan yang lebih baik, produktiviti setiap rakyat juga akan bertambah dan ini sekaligus akan meningkatkan lagi ekonomi negara di masa hadapan.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…